Gara-Gara Anak Dan Menantu, Seorang Ibu Berusia 51 Tahun Sanggup Tinggal Didalam Kereta Kancil Selama 40 Hari


ADA perkara yang mereka kata sehingga membuatkan saya kecil hati. Jadi lebih baik saya keluar daripada rumah kerana tidak mahu susahkan mereka.”

Demikian luahan seorang wanita yang tinggal di dalam Perodua Kancil di Taman Suria, Pendamar, Pelabuhan Klang.

Wanita berusia 51 tahun yang enggan namanya disiarkan berkata, dia mengambil keputusan tinggal di dalam kereta selepas berkecil hati dengan anak serta menantunya sejak 40 hari lalu.

“Saya nak keluar dari kawasan itu, namun kereta saya tidak boleh bergerak membuatkan saya terpaksa tinggal di dalam kereta selama 40 hari sebelum dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Memang saya ada niat nak pergi rumah anak yang lain, namun belum tentu mereka terima saya. Mesej ucapan Aidilfitri saya pun tidak dibalas,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia berterima kasih kepada penduduk yang menghantar makanan sepanjang berada di dalam Perodua Kancil miliknya itu.

“Penduduk ada tawarkan untuk tinggal bersama mereka tetapi saya enggan sebab tidak mahu susahkan mereka. Jadi mereka menghubungi LZS untuk bantu saya.

“Saya juga berterima kasih kepada LZS yang sewakan rumah untuk saya. InsyaAllah, ketika ini saya sedang mencari kerja dan mahu membuka gerai masakan jika diberi peluang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Agihan LZS Daerah Klang, Mohd Shahril Ritin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi parkir di pangsapuri itu selepas mendapat maklumat pada 19 Ogos lalu.

“Kebetulan terdapat sebuah rumah sewa di kawasan berdekatan. Kami terus sewa rumah itu dengan membantu membayar wang pendahuluan serta bulanan.

“Selain itu, wanita terbabit turut menerima bantuan kecemasan zakat sebanyak RM500 bagi memulakan hidup.

“Kami turut menyediakan bantuan makanan selain membantu membaiki kenderaannya bagi memudahkan dia keluar mencari kerja nanti,” katanya.



SUMBER : Harian Metro