UGUT OCPD: ‘Saya Hanya Mahu Dia Hormat Kerajaan Baru’ – Pemimpin DAP

PEMIMPIN DAP Bahagian Jerantut, Loo Why Leong yang ditahan kerana menghantar teks mesej berbaur ugutan kepada Ketua Polis Daerah (OCPD) Jerantut, Mazlan Hassan tampil menjelaskan perbuatannya.

Why Leong dalam satu kenyataan hari ini mengakui ada menghantar mesej kontroversi berbunyi “Sesiapa nak lawan PH, masa akan datang dia akan tak aman” kepada Mazlan pada 17 Mei lalu.

“Saya menghantar mesej teks melalui WhatsApp berharap moga-moga beliau (Mazlan) dan pegawai polis akan bertindak berdasarkan apa yang dikatakan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) supaya setia kepada kerajaan baru.

“Bagaimanapun, pada pagi hari berikutnya 18 Mei, saya risau Mazlan mungkin salah faham maksud saya kerana pemilihan kata-kata saya yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan itu.



Mengulas lanjut, Why Leong memberitahu, dia menghantar mesej tersebut kerana rakannya yang juga ahli DAP telah “ditangkap secara salah” sehari sebelum itu kerana dituduh terlibat dalam penyeludupan rokok yang ditemui dalam sebuah kereta.

Why Leong berkata, dia pergi ke kedai rakannya, selepas menerima panggilan telefon daripada isteri kawannya itu mengenai penemuan rokok seludup berkenaan.

Jelasnya, dia cuba membantu rakannya yang menafikan bukan pemilik kereta yang ditemukan rokok seludup itu.

“Kereta berkenaan diletakkan di belakang jalan di kedai rakan saya itu,” dakwanya.

Namun, menurutnya, bantahan mereka tidak diendahkan polis dan kedua-dua mereka ditangkap.

Why Leong juga mendakwa polis melayan rakannya secara kasar ketika soal siasat dan bertindak seolah-olah mereka penjahat.

Selepas itu kedua-dua mereka ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan.

Why Leong berkata dia kemudiannya menghubungi Mazlan untuk meminta bertemu dengannya pada pagi 17 Mei, tetapi pegawai itu tidak hadir.

Pada petang hari yang sama, katanya, pegawai polis yang dihantar oleh mahkamah muncul dan memberitahu mahu menahan reman mereka selama empat hari.

Bagaimanapun, Why Leong berkata, kedua-dua mereka dibebaskan sekitar 3 petang pada hari itu selepas menjelaskan hal tersebut kepada pegawai mahkamah.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia berasa marah lalu menghamburkan kata-kata tidak wajar ketika menghantar mesej teks tersebut kepada Mazlan dengan berkata: “Sesiapa nak lawan PH, masa akan datang dia akan tak aman.”

“Bagaimanapun, pada pagi hari berikutnya 18 Mei, saya risau Mazlan mungkin salah faham maksud saya kerana pemilihan kata-kata saya yang tidak wajar,” katanya.

Loo berkata kenyataannya bukan bersifat peribadi kepada OCPD itu.

“Saya kemudian menghantar satu lagi mesej memohon maaf dan menarik semula kenyataan saya yang tidak wajar itu. Saya harap beliau akan memaafkan saya.

Kenyataan itu bagaimanapun menerima respon keras daripada orang awam yang mahu Why Leong tidak dibebaskan begitu sahaja hanya dengan memohon maaf.

Perbuatan mengugut penjawat awam kata warganet adalah satu kesalahan serius dan tindakan paling tegas mesti diambil terhadap Why Leong.