Tanaman Rumput Ternakan Jana Pendapatan Lumayan

KULIM, 29 MAC: Keputusan dua pemuda menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan ladang rumput makanan haiwan ternakan di sini, membuahkan hasil apabila mampu mengaut pendapatan lumayan setiap bulan.

Shahemi Mohd Radzi, 31, dan Khairul Azhar Suleiman, 30, anak jati Kulim, yang sebelum ini terlibat dalam kerja pendawaian elektrik, mengusahakan secara bersama ladang rumput ‘napier’ di tanah berkeluasan tujuh hektar dekat Kampung Bikan di sini.

“Setiap hari kami akan menjual 30 hingga 50 beg rumput yang dipotong menggunakan mesin khas pada harga RM10 bagi setiap 25 kilogram dan setiap bulan pulangan antara RM9,000 hingga RM10,000.

“Harga rumput ini sangat murah hanya 25 sen bagi setiap kilogram berbanding dedak yang berharga RM45 bagi 50 kilogram yang semakin membebankan penternak yang tiada ladang ragut dan sumber makanan lain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Ladang Napier Utara di sini.

Shahemi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia itu berkata permintaan terhadap rumput berkenaan juga semakin meningkat sehingga pihaknya tidak mampu menyediakan bekalan yang mencukupi setiap hari untuk pelanggan dari sekitar kawasan Utara.

“Saya tidak menyangka yang pada mulanya merasa bimbang tiada permintaan kerana tidak kenal dengan penternak dan hanya bergantung kepada media sosial untuk iklankan produk. Sekarang tidak menang tangan pula. Malah bekalan juga tidak cukup untuk penternak komersial skala besar di kawasan Utara ini,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan rumput yang dijual itu sama ada secara dipotong atau silaj memenuhi keperluan nutrisi haiwan ternakan, ujian makmal juga dilakukan setiap dua kali tuaian rumput iaitu dalam tempoh 80 hari.

“Kami sangat menitikberatkan soal kualiti produk, semua rumput yang kami jual mempunyai nutrisi yang diperlukan haiwan ternakan, ini disahkan melalui ujian makmal,” katanya.

Shahemi berkata tanaman makanan ternakan itu hanya memerlukan penjagaan minimum dengan kos yang kecil, sekali gus sesuai bagi golongan muda untuk mencubanya.

“Benih kami dapatkan dari Thailand dengan harga yang murah, kami juga ada menjualnya, kemudian pastikan baja dan air mencukupi sahaja. Sekali sekala perlu sembur racun rumpai untuk pastikan rumput ini naik elok, sangat mudah,” katanya.

Beliau juga tidak lokek untuk memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada anak muda terutamanya yang berminat dalam perusahaan yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan itu.

“Kami juga ingin membuka lebih besar ladang rumput ini supaya dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat suatu hari nanti selain membantu kerajaan memastikan bekalan makanan ternakan sentiasa mencukupi tanpa perlu bergantung kepada negara luar,” kata Shahemi. - BERNAMA

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express