Ramuan Rahsia Campuran Tanah Untuk Tanaman Sayuran Dalam Pasu
Apabila kita berkebun menggunakan pasu, antara perkara penting perlu kita fokuskan adalah pada medium tanaman yang kita gunakan. Ramai yang membeli campuran tanah yang dijual di nurseri pokok dan kedai pertanian.
Tetapi tahukah anda bahawa sebenarnya kita boleh buat sendiri campuran tanah ini? saya akan terangkan tiga formula yang biasa digunakan oleh pekebun nurseri dalam menanam tanaman mereka dalam pasu. Sebelum itu, kita ketahui dahulu bahan-bahan asas yang perlu ada dalam campuran tanah ini.
Tanah Atas
Tanah atas adalah lapisan tanah yang paling atas di atas tanah (sama seperti namanya). Tanah atas ini berfungsi membekalkan nutrien dan menyimpan air untuk akar pokok nanti.
Kalau kita nak tahu, tanah atas yang terbaik adalah tanah atas yang diambil di pinggir hutan. Tanah yang hitam kaya dengan bahan organik. Jika tiada, gunakan tanah merah. Jika tiada juga, boleh guna tanah campuran yang dijual di nurseri.
Bahan Organik
Bahan organik berfungsi sebagai pemberi nutrien dan kesuburan tanah. Contoh bahan organik yang ada adalah mana-mana najis haiwan ternakan (ayam, arnab, kambing, lembu, kuda), kompos, dan sabut kelapa halus. Mana-mana bahan organik kita boleh gunakan dalam campuran tanah nanti.
Pasir
Pasir berfungsi memberi ruang rongga pada campuran tanah. Ruang rongga ini memberi ruang untuk akar berkembang dengan baik. Seterusnya dapat menyerap oksigen dengan baik. Pasir yang terbaik adalah pasir sungai atau pasir lombong. Untuk mudah, kita boleh gunakan pasir yang dibeli di kedai hardware. Alah, pasir buat rumah tu?
Pasir pantai tidak sesuai digunakan atas sebab pasir pantai terlalu halus dan mengandungi garam yang tinggi. Ini akan merencat pertumbuhan tanaman kita nanti. Alternatif lain, kita boleh ganti pasir dengan perlit, vermikulit ataupun zeolit. Ketiga-tiga bahan ini sesuai untuk menjaga struktur tanah campuran.
Setelah kita tahu tiga asas dalam campuran tanah, barulah kita masuk ke dalam formulasi campuran tanah ini.
Tambahan
Selain daripada tiga bahan asas yang saya nyatakan di atas, kita boleh menambah sabut kelapa halus, sekam padi, dan sekam bakar sebagai bahan tambahan. Bahan tambahan ini membantu perkembangan bibit dalam pasu.
Formula 1: Campuran Tanah 3:2:1
Formula 3:2:1 paling banyak digunakan oleh pekebun nurseri untuk tanaman pasu. Nisbah 3:2:1 ini dimulai dengan tanah atas, bahan organik dan pasir. Secara mudahnya, 3 tanah atas, 2 bahan organik dan 1 pasir. Formula ini sesuai untuk segala jenis tanaman termasuk sayur, buah dan bunga.
Formula 2: Campuran Tanah 2:1:1
Campuran 2:1:1 ini sesuai untuk tanaman sayur. 2 tanah atas, 1 kompos, 1 sabut kelapa halus. Ramuan ini mampu memberi nutrien dan penyerapan air yang bagus untuk pokok.
Formula 3: Campuran Tanah 1:1:1
Campuran tanah 1:1:1 ini sesuai untuk tanaman semaian. Kita boleh gunakan campuran ini untuk menyemai benih sayur dahulu sebelum terus dipindahkan atas batas atau pasu lebih besar.
Setelah kita campurkan semua bahan-bahan di atas, kita perlu gaulkan sehingga semua bahan menjadi sebati. Apabila kita membuat campuran tanah ini, perkembangan pokok akan lebih teratur dan subur. Ada yang sudah mencuba? Tinggalkan komen anda di bawah artikel ini untuk sama-sama kita bincangkan.
SUMBER : Kebunbandar
Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express