4 Punca Kenapa Pokok Sering Mati
KITA sering bertemu banyak halaman rumah tidak bertanah sama ada disimen ataupun dipasang jubin keseluruhannya. Bila bertanya kepada tuan rumah, antara jawapan yang biasa kita dengar, “Tak pandai tanam pokok; tak serasi; tangan panas, apa yang ditanam semuanya mati”.
Pada saya, sebab utama adalah kerana ramai di kalangan masyarakat kita tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai penanaman itu sendiri. Kita semua suka pada pokok bunga yang cantik, cukup teruja bila melihat pokok mangga siam jiran sebelah rumah berbuah lebat. Tapi ramai yang terlupa, tumbuhan itu adalah makhluk bernyawa, perlu makan minum, serta penjagaan seperti manusia.
Kali ini, saya akan berkongsi dengan pembaca sebab utama pokok atau tumbuhan itu mati.
1) Kekeringan Tanah
Semua makhluk perlu air untuk hidup termasuk tumbuhan. Banyak spesies tumbuhan dapat bertahan dalam keadaan tanah kering atau jadual penyiraman tak menentu. Namun kegagalan membekalkan air mencukupi terutama sewaktu tumbuhan mulai bertunas boleh mengakibatkan pucuk muda menjadi layu seterusnya menyebabkan tumbuhan mati.
2) Terlebih Siraman
Antara sebab utama tumbuhan berpasu mati adalah akibat terlebih siraman. Siraman yang terlalu kerap atau berlebihan menyebabkan akar rambu sentiasa basah, seterusnya menjadi rosak. Akar yang rosak menyebabkan tumbuhan gagal menyerap air dan nutrien yang diperlukan. Kesudahannya pokok menjadi layu, daun gugur dan akhirnya mati.
3) Cahaya Matahari Berlebihan
Kematian tumbuhan akibat pancaran terik matahari terjadi kepada jenis tumbuhan yang berasal daripada tempat teduh atau terlindung, dipindahkan secara mengejut ke kawasan yang terdedah kepada pancaran terus matahari. Perubahan suhu secara mendadak menyebabkan daun seperti tercelur dan hangus, seterusnya pokok boleh mati.
4) Kekurangan Cahaya
Tumbuhan memerlukan cahaya yang mencukupi untuk aktiviti fotosintesis. Pencahayaan yang suram di dalam rumah seperti di ruang tamu atau sudut yang jauh dari tingkap, walaupun tidak membunuh tumbuhan dalam jangkamasa pendek, namun suasana sebegini menyebabkan daun cepat bertukar menjadi kuning dan gugur. Kadar pembesaran tumbuhan menjadi terencat dan tidak akan berbunga. Untuk menjamin kesegaran pokok di kawasan seperti ini, tukarkan ia setiap dua minggu sekali.
SHAREKAN kepada semua, Moga info ini memberi manfaat.
SUMBER : Fb Mohd Fauzan
Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express