"Saya amat kagum dengan insan istimewa ini," demikian kata netizen, @sampockettrade, mengenai seorang rider Food Panda ini.

Sam tidak menyangka, pesanannya pada malam itu rupanya dihantar oleh insan istimewa bernama Syahrain Fadzil yang bekerja dengan Food Panda sepenuh masa.

"Beliau full time rider Food Panda, berpendapatan seminggu RM600-RM800. Tiada alasan untuk meraih rezeki yang halal daripada meminta sedekah seperti orang lain," tulisnya.



Tweet Sam itu mendapat banyak reaksi netizen yang rata-rata kagum dengan Shahren. Tidak kurang juga, ada yang tertanya-tanya bagaimana Shahren menunggang motosikalnya.

Menurut rakannya, Suzairi Hafizi, berkata, sejak dari zaman sekolah lagi Syahrain sudah bekerja dan menunggang motosikal setiap hari.

"Dia menulis, 10 kali cantik dari tulisan aku. Dia pernah tolong aku masa motosikal rosak. Dia tolak pakai kaki motor aku sampai pam minyak," katanya.



Ketabahan insan istimewa ini membuatkan ramai netizen yang terkesan yang selama ini banyak merungut dengan dugaanNya.

"Kalau ada insan sempurna tapi masih merungut, aku hanya mampu geleng kepala. Semoga dipermudahkan segala urusan beliau." - @Matt_Lawi

"Astaghfirullahalazim. Nak menangis tengok kekuatan dia. Kuat betul dia bekerja untuk sara hidup dia." - @Muhammad_asyrff

"Ya Allah ya rabbi. Kuatnya semangat bro ni. Hope tak adalah orang buli dia atau marah-marah dia jika food lambat sampai. Sebab sebelum ini pernah nampak jiran marah-marah bila bro penghantar pizza itu lambat sampai. Kesian tengok." - @KangYan94563797



Sementara itu, Syahrain tidak menyangka videonya itu viral di media sosial.

"Saya hanya sedar mengenai hal itu bila ada yang hantar paparan skrin tentang posting itu, sebab saya tak aktif sangat di Twitter," katanya.

Menurut Syahrain, dia kehilangan kedua-dua tangannya pada 2003 di mana tangannya hancur selepas terkena letupan berhampiran Penjara Sungai Buloh.

"Masa itu umur saya sembilan tahun, saya terkena bom berhampiran Penjara Sungai Buloh. Saya berada dekat satu kawasan pondok tepi jalan.

"Saya tak tahu itu bom. Saya main dan ia meletup. Tangan saya tak putus tapi ia macam hancur. Saya terima dan reda dengan kejadian ini. Mungkin ada sebab takdir saya macam tu," katanya.

Syahrain berkata, dia baru saja menjadi penghantar makanan Food Panda sebulan lalu dan bersyukur kerana diterima untuk bekerja.

Dalam pada itu, Syahrain berterima kasih kepada netizen yang mendoakannya dan menegaskan walau apa pun kekurangan diri, jangan jadikan itu sebagai alasan untuk malas bekerja.

SUMBER : Twitter @sampockettrade