KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan pengendali blog Papa Gomo semalam, berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan.
Mohamad Fuzi berkata, penahanan itu adalah bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan satu video yang dikeluarkan Papa Gomo yang didakwa cuba menaikkan sentimen orang ramai berkaitan isu perkauman.
“Semua kena sedia maklum, (penahanan) ini ekoran kenyataan-kenyataannya berbaur hasutan dikeluarkan pada video yang cuba menaikkan sentimen orang ramai, kita tak mahu perkara berkaitan isu perkauman ini dibangkitkan dalam keadaan luar biasa.
“Jika kita biarkan perkara begini, ia akan menyebabkan masalah lain pula berkaitan isu keselamatan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh, hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid akan memangku tugas Ketua Polis Perak berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Hasnan Hassan yang bersara wajib.
Menerusi semakan pada akaun Facebook menggunakan nama Sir Azri dipercayai milik Papa Gomo mendapati terdapat satu video dibuatnya kelmarin dengan mengetengahkan tajuk ‘Ini Tanah Melayu’ yang sudah ditonton seramai 327,000 pelayar dan dikongsi sebanyak 9,900 kali.
Mohamad Fuzi berkata, tindakan bukan sahaja akan diambil terhadap Papa Gomo tetapi juga kepada semua pihak yang cuba menggunakan media sosial untuk menaikkan sentimen perkauman.
“Polis bukan sahaja akan ambil tindakan terhadap Papa Gomo ini tetapi semua yang terbabit terutama yang menggunakan media sosial ini untuk menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan polis dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Perak, V Sivakumar berkaitan pergolakan politik di negeri ini, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan membuka kertas inkuiri terhadap laporan dibuat itu.
“Kita akan tengoklah keperluan dari segi siasatan dalam masa terdekat ini, terutama dakwaan pihak tertentu berhubung isu pergolakan politik di negeri Perak ini.
“Kita sedar mengenai perkara ini dan akan ambil langkah perlu untuk memastikan keadaan ini tidak menjejaskan keadaan keselamatan khususnya di Perak,” katanya.
Ditanya sama ada akan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan, Mohamad Fuzi berkata, perkara itu bergantung kepada keperluan siasatan yang akan dijalankan.
Kelmarin, Sivakumar membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi bagi meminta siasatan menyeluruh berhubung isu dakwaan ada usaha menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.
SUMBER : Harian Metro