Jakarta : Status duka pramugari jelita sebelum nahas 8Gambar Status salah seorang pramugari Lion Air JT 610 dipercayai terhempas ke laut beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta pagi tadi tular di media sosial.
Menerusi Instagram peribadinya, Alviani Hidayatul Solikah menulis ‘it’s dark inside, i want save that light’.
Status itu dimuat naik tiga hari lalu dengan memperlihatkan dia sendirian di tengah-tengah sinaran cahaya lampu dikelilingi kegelapan.
Memetik DetikNews, Alviani Hidayatul yang berasal dari Jawa Timur merupakan salah seorang pramugari pesawat malang tersebut.
Rata-rata rakan dan netizen memenuhi ruang maklum balas dengan menzahirkan ucapan takziah kepadanya.
Netizen, Julistyoip mendoakan Alviani dibawah lindungan ALLAH SWT.
Bagi, Rorisrei pula menyatakan, ‘ALLAH will save the light for you and bring you out from the dark’. Al – Fatihah.
Dalam pada itu pihak penyelamat Indonesia menjumpai cebisan mayat hari ini selepas pesawat Lion Air terjunam ke dalam laut sebaik berlepas dari ibu kota ini, kata seorang jurucakap.
Juruterbang pesawat yang membawa 189 penumpang, meminta kebenaran berpatah balik sebelum terputus hubungan 13 minit ketika penerbangan.
Penyelamat cuba mencari badan utama pesawat selepas menemui serpihan dan bahagian pesawat yang terapung di Laut Jawa.
Sementara itu laporan laman web Kompas.com, pasukan mencari KNP 348 Pengawal Laut dan Unit Pengawal Tanjung Priok menjumpai sejumlah objek disyaki milik penumpang pesawat JT610 di perairan Tanjung Karawang hari ini.
Penyelaras Pencarian Lapangan dari Tanjung Priok, Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP) dikenali Harto berkata, objek ditemui termasuk beg, dompet dan cebisan tubuh.
“Kami menemuinya dalam bentuk sampah namun sebaik kami mendekatinya, ada banyak beg seperti itu dan ia sebenarnya bukan setakat timbunan tetapi cebisan tubuh,” kata Harto.
Berdasarkan pemerhatian Kompas.com, beberapa beg ditemui pegawai musnah. Namun begitu, pegawai menemui sebuah beg mudah alih yang masih utuh. Sebuah dompet ditemui dalam beg dan mengandungi kad pengenalan pemilik bersama wang tunai Rp1.66 juta (RM455.91).
Katanya objek yang ditemui dibawa ke pos pemindahan terletak di Limbungan Kalijabat, di Utara Jakarta.
Pesawat yang dalam perjalanan dari ibu kota ini ke Pangkalpinang terhempas di luar perairan Tanjung Karawang membawa 178 dewasa, seorang kanak-kanak, dua bayi dan tujuh kru. -Reuters/Agensi