“Kita dapati rakyat tidak boleh terima mereka. Sebab itu, mereka tidak harus diterima untuk menjadi ahli."

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan menerima anggota daripada parti yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi HARAPAN itu berkata ramai ahli politik daripada kerajaan sebelum ini berminat untuk menyertai HARAPAN.

“Kita dapati rakyat tidak boleh terima mereka. Sebab itu, mereka tidak harus diterima untuk menjadi ahli.

“Mereka boleh mengisytihar keluar parti umpama Umno dan menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi (mereka) tidak boleh menjadi ahli dalam parti kerajaan (HARAPAN),” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putarajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baharu.

“Rakyat tidak pandang baik terhadap ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baharu ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan BERSATU Pusat, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata parti itu menerima permohonan kemasukan baharu setiap hari termasuk pemimpin dan anggota Umno dari seluruh daerah di Kelantan.

Namun begitu, Kamaruddin berkata semua permohonan baharu bagi menyertai BERSATU akan dibawa ke mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi parti itu dalam masa terdekat.

Pada 14 Mei, di Perak, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta empat pemimpin lain antara 200 anggota Umno yang mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai BERSATU Perak.

SUMBER : Malaysia Kini